Monday, April 20, 2009

Waran tangkap terhadap Mohamad Sabu, 9 pengikut


NIBONG TEBAL: Mahkamah Majistert Jawi mengeluarkan waran tangkap terhadap Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan sembilan pengikutnya kerana gagal menghadiri perbicaraan hari ini berhubung tuduhan menghalang penjawat awam melaksanakan tugas tahun lalu.

Mahkamah itu telah menetapkan perbicaraan selama tiga hari mulai hari ini untuk kesemua tertuduh tetapi kelibat mereka dan juga peguam tidak kelihatan apabila kes itu dipanggil.

Berikutan itu, Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Anuar memohon supaya mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas Mohamad Sabu dan sembilan penyokongnya.

Majistret Norashikin Mokhtar, yang menggantikan Majistret Mohd Izham Ali yang sedang berkursus, kemudiannya mengeluarkan waran tangkap itu serta notis kepada kesemua penjamin mereka dan menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes itu.

Jurucakap Mahkamah Jawi ketika dihubungi berkata, pihaknya telah dihubungi oleh seorang peguam kumpulan itu yang memaklumkan bahawa mereka akan hadir di mahkamah itu esok untuk membuat rayuan membatalkan waran berkenaan.

Mohamad Sabu, 53, dan sembilan penyokongnya Zamarul Aini Abdul Malek, 37; Zainal Azrun Zainal Abidin, 35; Abdul Rahim Mat Ariff, 58; Md Lazim Osman, 50; Mohd Biyamin Ishak, 44; Fauzi Saharat, 44; Abdul Razak Ramli, 42; Mohd Subri Mohd Said, 42; dan Mohamad Salleh, 47; didakwa menghalang Supt Mohd Nasir Salleh daripada menyerahkan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur terhadap pemimpin PAS itu.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran plaza tol Bukit Tambun di Lebuhraya Utara Selatan pada kira-kira pukul 7.45 malam, 9 Disember 2007. BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

PEMUDA BATU ENAM © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates