Tuesday, April 21, 2009

Kerajaan Haram Jual Kereta Sape Ni…

Toyota Camry bekas Exco Pakatan Perak dilelong

Kereta Toyota Camry 2.4 yang sebelum ini digunakan sebagai kenderaan rasmi exco pakatan pembangkang ketika menerajui pentadbiran kerajaan negeri akan dilelong oleh kerajaan negeri Perak.

IPOH: Kerajaan negeri Perak akan melelong 16 buah kereta Toyota Camry 2.4 yang sebelum ini digunakan sebagai kenderaan rasmi exco pakatan pembangkang ketika menerajui pentadbiran kerajaan negeri.


Menurut kenyataan tender terbuka yang dihantar ke bahagian iklan sebuah akhbar berbahasa Melayu di sini hari ini, lelongan kereta itu akan berlangsung di tempat letak kereta Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini mulai 9.30 pagi hingga 4 petang pada 4 hingga 18 Mei ini.


Kenyataan tender yang dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak itu menyatakan kenderaan berkenaan boleh dibeli secara pukal atau seunit dengan harga rizab RM148,000 sebuah.


Kereta itu adalah yang menggunakan nombor pendaftaran AGS10, AFD11, AFD22, AFD33, AFD55, AFD66, AFD77, AFD88, AFD99, AFD333, AFD999, AFF33, AFF88, AFF99, AGS828 dan AEU606 yang kesemuanya didaftarkan pada 9 Jan tahun ini.


Kenyataan tender itu turut menyebut, semua kenderaan itu adalah baru yang digunakan antara satu hingga dua bulan, perbatuan rendah dan masih dalam tempoh jaminan tiga tahun oleh syarikat pengeluar.


Selain itu ia turut menyebut kenderaan berkenaan juga mempunyai nombor pendaftaran orang kenamaan, cermin ‘tinted’ yang bernilai RM2,000 serta bebas daripada sebarang kejadian kemalangan.


Bagaimanapun, difahamkan kereta rasmi yang bernombor pendaftaran AGS10 yang digunakan oleh bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak akan dilelong kerana beliau dikatakan telah membuat tempahan membeli kereta tersebut.


Dokumen tender boleh didapati pada waktu pejabat mulai 4 Mei hingga 18 Mei ini di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Bahagian Pengurusan, Aras 3, Bangunan Perak Darul Ridzuan dengan harga RM20 senaskah.


Mereka yang ingin membeli kenderaan berkenaan perlu menghantar kembali surat tawaran tender itu sebelum pukul 12 tengah hari pada 18 Mei ini.


http://www.mstar.com.my


Ulasan Pahangdaily


Nampaknya kerajaan UMNO BN Perak begitu fobia melihat kereta Camry yang dibeli untuk kegunaan exco semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat Perak dulu. Lantaran itulah kereta yang baru dibeli dua bulan itu mahu dilelong, walhal ia tidak mendatangkan apa-apa mudarat sekali pun jika ia digunakan terus sebagai kenderaan rasmi kerajaan negeri yang baru itu.


Apakah mereka akan menukarkan semula dengan kereta lama atau membeli kereta yang lebih eksklusif untuk menjaga imej serta status exco-exco kerajaan negeri UMNO BN di Perak selepas ini agaknya. Apapun, tahniah kepada MB Nizar kerana berjaya memiliki salah satu kereta itu tanpa bertukar tangan kepada sesiapa pun setelah kerajaan negeri Pakatan Rakyat dirampas secara zalim Februari lalu.


0 comments:

Post a Comment

PEMUDA BATU ENAM © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates