Friday, July 3, 2009

Pemimpin Turun Padang

Dato' Harun Taib sedang beramah mesra dengan orang ramai di kedai makan

KUALA TERENGGANU: Saf kepimpinan baru Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) di bawah pimpinan Dato' Tuan Guru Haji Harun Taib telah memulakan gerak kerjanya dengan suatu pendekatan untuk turun padang bertemu dengan rakyat secara langsung.

Program yang dinamakan "Sehari Pemimpin Negeri Bersama Masyarakat" itu dimulakan di DUN Bandar di sini semalam. Program mingguan ini akan diadakan di semua 32 Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Acara program itu bermula dengan minum pagi bersama rakyat di kedai kopi terpilih dalam DUN berkenaan. Selepas itu BPPNT akan mengadakan mesyuarat Dewan Harian. Pada sebelah petang pula satu perjumpaan khas diadakan dengan pemimpin PAS di DUN dan Cawangan-Cawangan dalam DUN berkenaan.

Dalam jadual yang diatur itu, kira-kira jam 5.00 petang, program minum petang bersama rakyat setempat diadakan di kedai atau restoran yang ditetapkan.


Acara program tersebut akan berakhir dengan majlis dialog terbuka dengan masyarakat pada sebelah malamnya.


Menurut Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Haji Yahaya Ali, antara objektif program tersebut ialah mendekatkan hubungan antara pemimpin utama BPPNT dengan pemimpin di peringkat DUN dan Cawangan serta rakyat di peringkat akar umbi.


Ia juga bagi memperkukuhkan organisasi di peringkat DUN dan Cawangan dalam menggerakkan kerja perjuangan bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.


Selain itu kata beliau lagi ialah untuk bertemu rakyat bawahan secara langsung dan mendengar permasalahan yang mereka hadapi serta mendapatkan pandangan langsung dari masyarakat setempat mengenai pelbagai isu yang berlaku sekaligus menyampaikan maklumat terkini dan pendirian parti mengenai isu-isu semasa bagi mengukuhkan sokongan kepada perjuangan ini.

http://ibnugharib.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

PEMUDA BATU ENAM © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates