Monday, July 27, 2009

Pakatan Rakyat : Pemuda Pakatan Rakyat tubuhkan MAMPAT



KUALA LUMPUR, 27 Julai - Dewan Pemuda PAS (DPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan pergerakan Pemuda Sosialis (DAPSY) hari ini sepakat menubuhkan Majlis Muafakat Pakatan Rakyat (MAMPAT)bertujuan menguatkan lagi kerjasama politik antara pemuda Pakatan Rakyat.

Berhubung Himpunan Mansuhkan ISA yang bakal di adakan pada 1 Ogos 2009, MAMPAT menyokong himpunan tersebut dan memberi komitmen kehadiran seluruh pimpinan dan ahli pemuda Pakatan Rakyat.

MAMPAT juga percaya himpunan tersebut akan berjalan dengan aman seperti yang dirancangkan dan mengharapkan supaya pihak polis memberi kerjasama yang baik mengawal keselamatan semua pihak.

Berikut kenyataan media MAMPAT:

KENYATAAN MEDIA

27 Julai 2009


Kami Pemuda PAKATAN RAKYAT yang terdiri daripada Dewan Pemuda PAS (DPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pergerakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) hari ini memutuskan penubuhan Majlis Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat dengan penggunaan singkatan nama MAMPAT. Mesyuarat MAMPAT yang pertama pada hari ini (Isnin 27hb Julai 2009) di Tingkat 2, Pejabat Pemuda PAS Pusat bersetuju bahawa ahli-ahli mesyuarat MAMPAT terdiri daripada Ketua, Setiausaha dan 3 pimpinan tertinggi Pemuda yang lain daripada setiap parti dan akan mengadakan mesyuarat bulanan secara tetap.

Pemuda PAS, AMK dan DAP percaya penubuhan MAMPAT ini akan menguatkan lagi hubungan kerjasama politik Pakatan Rakyat dan memberikan kekuatan untuk pemuda Pakatan Rakyat merencana gerak kerja bersama pada setiap masa. Penubuhan MAMPAT ini juga akan dapat membantu Pemuda Pakatan Rakyat menyelesaikan sebarang isu berbangkit yang melibatkan hubungan parti-parti Pakatan Rakyat dengan lebih cepat.

Mengenai Himpunan Mansuhkan ISA yang akan berlangsung pada 1 haribulan Ogos ini, MAMPAT membuat penegasan pada hari ini menyokong penuh Himpunan tersebut dan memberikan komitmen kehadiran pimpinan dan seluruh ahli pemuda Pakatan Rakyat ke Himpunan tersebut. MAMPAT percaya himpunan tersebut akan berlangsung secara aman sepertimana yang dirancangkan dan meminta kerjasama pihak polis untuk membantu mengawal keselamatan semua pihak.

Sekian.

Nasrudin Hassan Shamsul Iskandar Mat Akin Loke Siew Fook
Ketua DPP Ketua AMK Ketua DAPSY

0 comments:

Post a Comment

PEMUDA BATU ENAM © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates