Saturday, April 17, 2010

Kenyataan Rasmi Presiden PAS

Ketidakadilan Dalam Isu Pembangunan Teknologi Nuklear


Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin mempersoalkan langkah terbaru Kerajaan Malaysia yang turut sama terikut dengan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat yang berterusan mengenakan sikap ‘double standard’ dalam menguruskan isu pembangunan teknologi nuklear sebagaimana yang disimpulkan dari Nuclear Summit 2010 yang dianjurkan oleh pentadbiran Washington.


Malaysia seharusnya mengambil sikap yang sama dengan Republik Turki yang konsisten, berani dan tegas bahawa hak penyelidikan dan pembangunan teknologi nuklear untuk tujuan keamanan tidak seharusnya diganggu-gugat oleh mana-mana pihak.


Apa yang paling dikesalkan ialah Regim Zionis haram Israel yang terbukti telah dan sedang bertindak ganas tanpa batas tamadun manusia pula dibiarkan bermaharajalela dengan mempunyai teknologi nuklear sekian lama tanpa pula dikecam oleh mana-mana pihak di Washington. Inilah yang sebenarnya menjadi punca krisis keamanan dunia di waktu ini.


Apa yang lebih buruk ialah dalam masa yang sama, kerajaan Malaysia juga telah gagal untuk menyuarakan tekanan kepada Regim Zionis Israel dalam persidangan di Washington itu.


Sehubungan dengan itu juga Perdana Menteri Malaysia mestilah membuat penafian bahawa pernah mengarahkan syarikat petroleum negara Petronas untuk memberhentikan penjualan minyak kepada Republik Islam Iran. Sekiranya laporan yang dipetik dari sumber berita AFP itu benar, maka amat malanglah bagi rakyat dan umat Islam di Malaysia kerana mempunyai kerajaan yang menjadi pak turut Washington dengan menzalimi keseluruhan rakyat Iran yang tidak berdosa itu.


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS


1 JamadilAwal 1431/ 16 April 2010


0 comments:

Post a Comment

PEMUDA BATU ENAM © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates