" Tuan Muda " Mohon Maaf , Janji Tidak Ulangi Perbuatan
KUANTAN, 16 April (Bernama) -- Remaja yang menyamar sebagai "Tuan Muda Pahang" telah menghantar surat memohon maaf serta akujanji kepada pihak Istana Pahang untuk tidak mengulangi perbuatan itu. Setiausaha Sulit Istana Abdul Aziz di sini, Left Kol (B) Nor Hashim Abdul Aziz berkata surat permohonan maaf serta akujanji berkenaan diserahkan sendiri remaja berusia 17 tahun itu semalam.
"Dalam surat itu, remaja terbabit menyatakan rasa kesal dengan perbuatannya, dia juga memohon maaf kepada Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta semua anggota kerabat dan berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut.
"Remaja itu juga mengaku bahawa dia melakukan perbuatan itu seorang diri dan atas kehendaknya sendiri tanpa pengetahuan saudara-maranya yang lain," katanya di sini, pada hari Jumaat.
Remaja itu, kata Nor Hashim juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan kepada media untuk mengelak sebarang spekulasi.
"Kita beri nasihat kepada dia supaya tidak membuat kenyataan kepada akhbar kerana tidak mahu isu ini berpanjangan dan mengelak spekulasi pihak tertentu demi kebaikannya sendiri," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Zulkifli Taha mengesahkan remaja terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam.
Katanya remaja itu mengikuti sesi kaunseling ketika dalam tahanan polis dan turut berjanji untuk berusaha memperbaiki diri dan mengubah sikapnya.
"Polis ada menjalankan sesi kaunseling terhadap remaja itu melalui Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) dan dia telah membuat pengakuan untuk mengubah sikapnya," kata beliau.
Zulkifli berkata pihak polis juga sedang berhubung dengan beberapa lagi pihak untuk memberikan bimbingan kaunseling secara profesional terhadap remaja terbabit.
Pada 9 April lepas, remaja yang berasal dari Bera, Pahang itu ditahan polis di rumah saudaranya di Pekan, ekoran aduan daripada pihak Istana Pahang mengenai kes penyamaran itu.
Remaja terbabit yang merupakan pelajar pintar, dipercayai memperdayakan seorang Exco kerajaan negeri Pahang dan Ketua Pengarah JLKN Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dengan menggunakan gelaran "Yang Mulia Tuan Muda" dan mendakwa bahawa dia adalah anak angkat kepada Tengku Abdullah.
Semalam, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mengampunkan remaja itu sekiranya dia memohon maaf, membuat akujanji tidak mengulangi perbuatan seumpamanya dan bersetuju mendapatkan rawatan kaunseling.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment