Pemuda bakal dibunuh Dajjal sudah lahir?
:Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik MalekDalam satu wawancara di youtube, dikatakan seorang bayi di Palestin memberi salam, kemudian memberitahu bahawa dia adalah orang yang akan dibunuh oleh Dajjal. Kemudian tidak ada lagi orang lain yang akan dapat dibunuh oleh Dajjal. Benarkah itu bayi dan bakal pemuda yang dibunuh Dajjal? (Biodata ringkas Dajjal)
Dalam hadis agak panjang tentang Dajjal, diceritakan Dajjal itu akan menemui ramai orang, mengajak semua orang menurutinya, dari satu negeri ke satu negeri. Dalam riwayat Bukhari dan beberapa riwayat lain (Fath al-Bari jilid 13 ms 145 dan selepasnya, no hadis 7132), …
apabila Dajjal hampir sampai ke Madinah dan terus hendak masuk, tiba-tiba didapatinya Malaikat menunggu di pintu masuk/terowong dengan pedang terhunus. Dajjal berhenti di luar Madinah dan keluar kepadanya seorang lelaki pada hari itu dari Madinah. Lelaki itu adalah sebaik-baik lelaki dan sehabis-habis soleh dan bertaqwa kepada Allah.
Apabila ia melihat Dajjal di luar Madinah, ia berkata kepada Dajjal itu: ‘Hei Dajjal! Aku naik saksi bahawa engkau itu Dajjal yang diceritakan kepada kami oleh Rasulullah SAW.’ Dajjal berkata: ‘Hei laki-laki! Kamu mesti taatkan aku atau aku belah engkau menjadi dua.’ Lelaki itu berkata: ‘Wahai sekalian manusia! Inilah dia Dajjal yang pembohong. Bila didengar oleh Dajjal perkataan itu, ia berkata kepada orangnya: ‘Apa pendapat kamu jika aku bunuh orang yang membantah aku ini, kemudian aku hidupkan dia balik, adakah kamu syak tentang dakwaan bahawa aku adalah tuhan?’ Jawab pengikut Dajjal: ‘Kami tidak syak, bahkan kami makin yakin.’
Dajjal membunuh lelaki itu, kemudian dihidupkannya kembali. Inilah yang disabdakan oleh Nabi SAW: ‘…Kemudian Dajjal itu menyeru seorang lelaki yang sangat muda. Disuruh lelaki itu mengaku Dajjal bahawa dia adalah tuhan. Ia enggan, lalu dipancung dengan pedang, dipotong dua hingga mati. Diserunya lelaki yang mati itu supaya bangkit, lalu hidup ketika itu juga. Dipanggilnya datang kepadanya. Maka orang muda itupun datang dengan berseri-seri wajahnya. Dajjal itu berkata kepada lelaki itu: ‘Hei laki-laki! Adakah engkau percayakan aku?’ Jawab lelaki itu. Demi Allah! Tidaklah engkau terlebih pandai dari aku pada hari ini.’ Kemudian dia berkata: ‘Tidak ada lagi seorang pun yang akan terbunuh selepas ku ini. Wahai sekalian mnausia! Inilah Dajjal yang pembohong itu. Sesiapa yang taatkannya, maka ia berkekalan di dalam api neraka, dan sesiapa yang tidak menurutinya, maka ia tinggal berkekalan di dalam syurga.’
Dajjal meninggalkan lelaki itu, dan kemudian ia masuk ke Syam, dalam keadaan Dajjal menyeru manusia menurutinya, ketika itulah Nabi Isa turun…hingga akhir hadis (Bahr al-Mazi j15 ms 196)
Komentar:
1. Lelaki yang dikatakan dibunuh oleh Dajjal sebagai lelaki terakhir itu keluar dari Madinah, bukannya Palestin. Adakah ini bermakna bayi yang baru lahir ini sampai masanya ia akan tinggal atau berada di Madinah? Madinah pula dikatakan sudah mempunyai 7 terowong sebagai jalan masuk seperti dalam beberapa riwayat hadis. Inikah terowong-terowongnya yang disebut hadis itu?
2. Lelaki yang bakal dibunuh Dajjal ini bukan Imam Mahdi. Seingat saya ketika mempelajari hadis akhir zaman daripada arwah Dr Walid al-Aani, pakar hadis berasal dari Iraq yang pernah mengajar di Universiti Yarmouk, Jordan sebelum kematiannya mengatakan Imam Mahdi muncul di Mekah. Orangramai akan berbaiah kepadanya ketika musim haji.
3. Jika benar bayi yang dikatakan bercakap itu lelaki tersebut, bererti kemunculan Dajjal juga begitu hampir. Menurut beberapa riwayat, Dajjal sudah ada di sebuah pulau seperti hadis Tamim ad-Dari semenjak zaman Nabi SAW. Cuma dalam beberapa riwayat Dajjal akan muncul di Isfahan, Iran atau Khurasan. Pengikutnya yang paling ramai pula di kalangan orang Yahudi.
Kata arwah guru saya itu: ‘Orang Yahudi akan beramai-ramai pada akhir zaman nanti berkumpul di Isfahan, Iran.’ Soalnya, polisi luarnegeri Iran sekarang cukup anti-Yahudi. Bilakah sebenarnya peristiwa ini, dan benarkah tentang bayi ini? Wallahua’lam bissawab.
http://www.niknasri.com
0 comments:
Post a Comment