Saturday, January 24, 2009

Kerajaan Kelantan Pungut RM1.2 Juta Untuk Bantu Rakyat Palestin



KOTA BAHARU, 24 Jan (Bernama) — Tabung Cakna Rakyat Palestin yang dilancarkan kerajaan negeri Kelantan bagi membantu rakyat Palestin di Gaza malam tadi berjaya memungut kira-kira RM1.2 juta.

Sumbangan itu diperolehi dari pelbagai pihak termasuk dari agensi-agensi kerajaan negeri seperti Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang berjumlah RM250,000; Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) RM100,000; Yayasan Islam Kelantan (YIK) 70,000; Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK) 66,000.

Lain-lain penyumbang ialah Tabung Serambi Makkah (RM51,000); Badan Perhubungan PAS negeri (RM70,000) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (RM518,000).

Pelancaran tabung itu disemprnakan oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat malam tadi dengan pelbagai acara diadakan bagi memeriahkan majlis, termasuk ucapan dari wakil pelbagai kaum, persembahan pantomin melibatkan 200 pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi, nasyid kumpulan Raihan dan bacaan sajak.

Rakyat Palestin di Gaza ketika ini sedang bergelut untuk membina semula kehidupan mereka selepas Israel mengumumkan gencatan senjata pada 18 Jan lalu, 22 hari selepas tentera kerajaan rejim Zionis itu melancarkan serangan udara dan operasi medan yang menyebabkan lebih daripada 1,300 rakyat Palestin terkorban, 5,300 cedera dan ribuan kediaman musnah.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika berucap merasmikan pelancaran tabung itu berkata, inilah kali pertama dalam sejarah sebuah kerajaan negeri mengadakan majlis pelancaran yang begitu besar bagi membantu rakyat Palestin yang tertindas di bumi sendiri.

Turut berucap pada majlis itu ialah wakil Hamas, Naji Shuri Al-Zaza, yang merupakan adik kepada Timbalan Perdana Menteri kerajaan Hamas.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Naji berkata beliau kagum dengan kehebatan rakyat Malaysia, khasnya Kelantan yang begitu prihatin terhadap nasib penduduk Palestin.

Katanya ia memberi semangat kepada kerajaan Hamas untuk terus berjuang mempertahan kedaulatannya.

http://www.bernama.com

0 comments:

Post a Comment

PEMUDA BATU ENAM © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates